Monday, March 29, 2010

Tip Memakai Minyak Wangi


Minyak wangi berkesan kepada kulit yang panas dan mempunyai peraliran darah yang baik. Belakang telinga dan nadi pada sendi tangan adalah tempat yang paling sesuai mencalit minyak wangi. Selain daripada itu, rambut yang dicuci dan segar atau baju daripada bahan semulajadi adalah pembaca bau wangi.

Haruman tahan lama jika disapu pada kulit bawah pakaian. Sesiapa yang suka bertukar haruman dinasihatkan berhati-hati apabila menyembur pakaian dengan minyak wangi. Kesan minyak wangi yang tinggal pada pakaian benang bulu sebagai contohnya mungkin tidak sesuai dengan pemakaian minyak wangi baru.

Setiap minyak wangi mempunyai keharmonian baunya tersendiri. Sekiranya kamu menggunakan minyak wangi lebih daripada satu pada masa yang sama, keharmonian minyak wangi akan hilang. Ini akan hanya merosakkan ciri-ciri setiap minyak wangi dan menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.

Minyak wangi boleh tahan selama enam bulan. Sekiranya ia dijaga rapi, ia bertahan lebih lama. Minyak wangi hendaklah diletakkan di dalam tempat gelap bersuhu bilik. Untuk botol baru, ia boleh disimpan selama setahun tanpa dibuka tudungnya. Jangan simpan minyak wangi dalam peti sejuk kerana khuatir akan memberi kesan kepada makanan.

Mengapa bau minyak wangi berbeza-beza bila dipakai oleh orang berlainan?

Bau minyak wangi itu akan berubah bila dipengaruhi oleh keadaan persekitaran. Sewaktu kamu beli minyak wangi di gedung jualan, ia dipengaruhi oleh persekitaran haruman yang kuat. Keadaan ini berbeza dengan persekitaran rumah. Sebab itulah baunya berbeza bila dibawa pulang.

Suhu dan kelembapan yang berbeza juga perlu diambil kira. Perlu diambil perhatian, setiap minyak wangi mempunyai kehidupan haruman tersendiri dan akan hanya timbul setelah satu tempoh.

Minyak wangi adalah campuran bahan-bahan tertentu hasil daripada beberapa peringkat proses pengewapan. Minyak wangi yang baik dibuat berhati-hati. Bau itu mestilah sama dengan bau asal yang digunakan bagi melahirkan satu kehidupan haruman dan luahan perasaan yang berterusan.

Peringkat awal pemakaian minyak wangi, pengguna hanya menyedari bau awal iaitu top note. Selepas beberapa saat, apabila minyak wangi sudah serasi dengan peredaran darah barulah bau sebenarnya timbul.

Setiap orang mempunyai bau badan yang tersendiri. Semua bergantung kepada keadaan kulit masing-masing, gaya hidup dan pemakanan yang seimbang. Orang lain mungkin sesuai dengan haruman yang digunakan tetapi kita tidak.

No comments:

Post a Comment