
KAMPUNG RAMBUTAN - Seorang penduduk terkejut apabila durian gergasi di dusunnya mencecah sehingga 15 kilogram (kg).Ramli Mok, 54, sudah biasa dengan buah durian gergasi di dusunnya namun tidak pernah seberat Durian Batin Emas tersebut.
Menurutnya, terdapat sembilan pokok durian di dusunnya, namun dua daripadanya mampu menghasilkan buah yang besar dan berat dengan isi yang tebal seperti itu."Sebelum ini saya mendapat 8,9 dan 12kg durian gergasi ini, tetapi ianya memang biasa setiap tahun begitu.
"Kemungkinan pokok durian kahwin yang saya tanam ini menghasilkan baka yang sangat baik sehingga menjadi buah durian gergasi," katanya yang hanya menggunakan baja tempatan untuk dusunnya.Selain itu, beliau menjelaskan buah durian gergasi seberat 8,9 dan 12kg tersebut telah dijual kepada pembeli dengan harga RM40, RM45 dan RM60.Ramli berkata, berat biasa bagi Durian Batin Emas tersebut dalam lingkungan lima hingga enam kilogram sahaja dan beliau akan menjual mengikut harga biasa dengan RM5 bagi sekilogram.
"Namun, yang seberat 15kg ini saya tidak berhasrat untuk menjualnya kepada sesiapa pun walaupun dengan harga yang mahal."Mungkin ini rezeki saya dan saya mahu menikmati rezeki tersebut selain memanjatkan rasa syukur saya kepada Allah dengan hasil yang luar biasa seperti ini," katanya.Menurutnya, isi Durian Batin Emas ini tebal dan bijinya kecil dan tidak boleh dijadikan benih untuk ditanam melainkan dengan melakukan proses kacukan pada pucuknya.
Katanya, untuk makan buah durian ini, mereka memerlukan sudu memandangkan bijinya kecil dan sukar di keluarkan dari pangsanya."Pokok pelik dan cara makannya pula berbeza dengan buah durian yang lain serta saya merasakan ia satu kejayaan bagi saya apabila pokok yang saya tanam ini memberikan hasil luar biasa.
"Selain itu, kulit durian ini nipis dengan isi yang tebal, tujuh kilogram makan lima orang pun tak larat habis," katanya.Sementara itu, beliau memberitahu Sinar Harian, setiap kali menjelang musim buah-buahan beliau akan membuat kenduri di dusunnya dengan menjamu penduduk kampung pada awal dan akhir musim buah sebelum dijual di tepi jalan dan pasar malam.
"Saya rasa bertuah apabila hasil dusun dan berkat titik peluh saya selama ini memberikan satu hasil luar biasa yang belum pernah orang lain dapat di kampung ini."Saya percaya, berbakti pada tanah, ia akan memberikan hasil kepada sesiapa sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment