Saturday, April 13, 2013

Cara Mengatasi Demam Panas

Sekiranya anak anda mengalami demam panas, ambil langkah proaktif untuk menurunkannya suhu badannya secara perlahan-lahan. Berikut dikongsikan beberapa langkah yang boleh anda ambil sekiranya anak-anak anda mengalami Demam Panas:

Pastikan anak kekal terhidrat dengan memberi mereka minum air putih yang cukup serta berikan mereka makan makanan yang berair seperti sup dan bubur. Jika bayi berusia bawah 6 bulan cukup dengan terus berikan bayi susu ibu dengan sekerap yang mungkin kerana susu ibu adalah immunisasi pasif yang membekalkan nutrisi lengkap pada bayi, kekal tersedia dan steril serta membekalkan antibodi untuk bayi melawan jangkitan yang dialami.

Pakaikan mereka pakaian yang longgar dan tidak tebal agar haba tidak terperangkap. Pakaian daripada kapas adalah pilihan yang terbaik kerana ia dpt menyerap peluh. Jangan bedung atau selimutkan anak yang demam.

Gunakan span atau kain yang dibasahkan dengan air dan ditekapkan pada tubuh anak untuk menarik panas keluar dari badan. Gunakan air suam dan tidak digalakkan untuk menggunakan air sejuk atau ais kerana ia boleh menyebabkan anak menggigil dengan lebih teruk dan boleh menyebabkan badan bertindak balas dengan menaikkan lagi suhu badan yang semestinya boleh membahayakan lagi anak anda. Tekapkan sahaja kain dan janganlah digosok kerana itu akan menyebabkan lebih banyak haba terhasil.

Boleh berikan anak ubat yang dibenarkan seperti Parasetamol untuk kanak-kanak, ibuprofen. Dilarang sama sekali untuk berikan anak Aspirin.

Pantau keadaan anak dan segera bawa berjumpa doktor sekiranya demam berlanjutan sehingga 2 hari.

Walaupun ibu bapa dinasihatkan supaya tenang sekiranya berhadapan dengan situasi demam sebegini kerana langkah awal yang betul berkemungkinan dapat mengawal demam dari berlanjutan, tetapi ada beberapa situasi di mana anak perlu dibawa berjumpa doktor dengan segera.

Situasi yang dimaksudkan ialah sekiranya:

Anak mengalami Sawan Tarik akibat suhu meningkat dengan cepat.
Demam berlanjutan selama dua hari
Anak menjadi lemah dan tidak aktif seperti kebiasaan
Anak mula meracau-racau
Anak tidak mahu makan ataupun minum
Anak mula muntah dan leher menjadi tegang.

No comments:

Post a Comment